Tuesday, February 15, 2011

Kekasih Allah, Junjungan kita

Assalamualaikum..Salam Maulidur Rasul semua...

Maulidur Rasul bermaksud kelahiran Rasul adalah hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.

Tarikh 12 Rabiul Awal adalah hari keputeraan baginda yang mesti diingati.

Antara sifat2 Rasullullah yang patut dicontohi adalah:

1) Berdikari sebagai anak yatim piatu

Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan sebagai anak yatim dan dipelihara oleh datuknya Abdul Mutalib. Semasa berumur enam tahun, ibunya iaitu Aminah pula telah meninggal dunia. Maka Rasulullah SAW dijaga sepenuhnya oleh datuknya. Semasa berumur lapan tahun, datuknya pula telah meninggal dunia, maka tanggungjawab menjaga Rasulullah SAW diambil alih pula oleh bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Keadaan dan persekitaran inilah yang telah membentuk peribadi Rasulullah SAW menjadi seorang yang berdikari.

Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:

¤ Latar belakang keluarga tidak boleh dijadikan sebagai alasan atau halangan untuk mencapai kejayaan.

¤ Keperitan hidup yang dialami oleh keluarga perlu dijadikan sebagai pengalaman untuk hidup berdikari.

¤ Wali atau ahli keluarga terdekat perlu berperanan mengambil tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang menghadapi kesusahan.

2) Menggilap sepenuhnya potensi diri

Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Hikmahnya ialah untuk menolak tohmahan musuh yang mengatakan ajaran Islam adalah idea rekaan Nabi Muhammad SAW hasil pembacaan dan kajian. Pada masa yang sama menghindarkan tuduhan bahawa Baginda SAW sendiri yang menulis dan mengarang Al-Qur’an.

Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:

¤ Sifat ummi tidak dilihat sebagai kelemahan yang boleh membantutkan proses penerokaan ilmu sebaliknya dijadikan sebagai sandaran meningkatkan kredibiliti diri.

¤ Menjaga dan menggilap sepenuhnya potensi diri yang dimiliki sama ada aspek akli, jasmani, emosi dan spritual.

¤ Mengasah ketajaman akli(daya intelektual) menerusi pelbagai kaedah seperti belajar dari pengalaman, menghayati alam, berfikir, berdialog dan sebagainya.

3) Istiqamah dengan kebenaran

Nabi Muhammad SAW telah diutuskan kepada masyarakat jahiliah yang hidup tanpa panduan dan pancaran agama serta tersasar dari fitrah kejadian manusia. Mereka membunuh anak perempuan kerana mahu menjaga maruah dan suka berperang sesama sendiri dengan alasan mempertahankan kehormatan. Namun, Nabi Muhammad SAW telah dipelihara oleh Allah SWT dari terjebak dalam maksiat tersebut.

Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:

¤ Kita perlu berpegang pada prinsip dan jati diri walaupun berada dalam apa sahaja keadaan dan situasi. Prinsip dan jati diri yang dipegang akan meningkatkan maruah dan kredibiliti.

¤ Keupayaan membebaskan diri dari terjebak dalam pengaruh gejala negatif yang dibawa oleh masyarakat membuktikan sifat istiqamah yang dimiliki.

¤ Beruzlah mengasingkan diri dari kesibukan urusan dunia merupakan salah satu cara untuk menilai dan mencari ketenangan jiwa bagi menambahkan keimanan.



Semoga kita semua sentiasa mengingati Rasul junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w dan membanyakkan selawat kepada junjungan kita.


Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak...Amin.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana tinggalkan komen anda :-)