Saturday, February 12, 2011

Demi Masa...



Surah Al 'Asr (Demi Masa) - 103



“Demi MASA. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan yang beramal soleh.
Yang berpesan-pesan dengan KEBENARAN. Yang berpesan-pesan dengan KESABARAN”.


Inilah yang Allah SWT tekankan dalam surah al-‘Asr yang diketengahkan khusus untuk menyedarkan umat Islam menghayati betapa pentingnya masa. Inilah antara soalan terpenting yang diberikan perhatian oleh semua masyarakat yang bertamadun di dunia, tanpa mengira bangsa dan di mana jua mereka berada. Kerana masa merupakan kehidupan, masa merupakan penentu keadaan kita di akhirat kelak. Realiti inilah yang perlu disedari oleh umat bahawa budaya memanfaatkan masa semakin jauh dari kehidupan seharian umat Islam.

Allah menjadikan masa selama 24 jam sehari sememangnya cukup untuk setiap hamba-Nya meneruskan kehidupan mereka. Adakalanya kita merasakan tidak cukup masa bukan kerana salah masa atau pun Allah tidak memperuntukkan masa yang cukup untuk kita, namun apa yang perlu kita sedari ialah pengurusan kita untuk mendahulukan yang lebih penting daripada perkara yang penting. Meninggalkan perkara yang tidak memberikan manfaat dan menggantikannya dengan perkara yang berfaedah.

Tapi, bagaimana cara kita ingin menentukan kewajipan yang perlu didahulukan daripada perkara-perkara remeh yang lain? Inilah pentingnya kita memahami ‘Fiqh al-Awlawiyat’ yang memberikan kita kefahaman untuk membahagi-bahagikan masa yang ada dengan sebaik mungkin serta menguruskan setiap urusan kita dengan mendahulukan perkara yang perlu didahulukan berbanding dengan perkara-perkara yang lain.

Inilah sebenarnya kelebihan umat Islam. Allah SWT telah membekalkan kepada umat Islam teori-teori pengurusan yang baik. Dengan akhlak yang sempurna, sudah barang pasti kita akan menjadi pemimpian yang berwibawa.menghayat i surah al-‘Asr dituruti dengan kefahaman terhadap ‘Fiqh al-Awlawiyat’ menjadikan kita seorang pengurus masa yang cekap dan mampu untuk membereskan kerja bukan sekadar menurut ‘mood’ atau desakan pihak-pihak tertentu, tetapi kesemuanya berpandukan ajaran Allah SWT yang melengkap setiap aspek kehidupan. Umat Islam sebenarnya telah diberikan ilmu Sains Pengurusan sejak 1400 tahun yang lalu.

Justeru, kehidupan muda kita ini menuntut kita untuk menjadi pengurus yang cekap kerana waktu inilah saat dan ketikanya untuk mengejar rahmat Allah SWT. Usia muda yang penuh dengan dugaan tetapi sekiranya dihiasi dengan tuntutan syariat, ia merupakan aset terpenting untuk melepasi titian sirat.

Sekiranya kita meneliti kehidupan para sahabat r.a, mereka memanfaatkan masa muda dan kesihatan ketika mana sebelum datangnya waktu tua semaksimum mungkin. Khalid al-Walid menjadi tentera yang berjuang di jalan Allah semenjak usianya belasan tahun lagi. Begitu juga beberapa orang sahabat yang lain, menjadikan usia muda sebagai modal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat demi mengejar syahid. Tidak ketinggalan yang tua, umpamanya Abu Thalhah, yang menghabiskan usia tuanya di jalan jihad sehingga dikebumikan di negeri orang semata-mata usahanya mengatur langkah demi menegakkan kalimah Allah SWT. Inilah jejak langkah yang perlu kita teliti dan perlu kita lalui supaya tidak menjadi orang yang rugi di akhirat; hanya mendapat laba dunia tetapi ketika dibangkitkan kali kedua terpaksa merana.

Penghayatan masa perlu kita perbaiki terutama dalam usaha untuk menegakkan ketuanan Islam. Kita bukan sekadar perlu memenuhi tuntutan masa untuk dimanfaatkan sepenuhnya, bahkan perlu menghormati masa untuk dihormati. Gerakan Islam tidak perlu lagi melewat-lewatkan mesyuarat atau aktiviti hanya semata-mata menunggu pihak-pihak lain, akan tetapi ketetapan masa perlu kita kuasai dengan sebaik mungkin. Tidak kira dalam apa-apa aspek sekalipun, kita perlu mendahului masa atau paling kurang menepatinya. Manfaatkanlah hidup kita sebaik mungkin kerana sedetik yang berlalu tidak akan berulang. Ingatlah, setiap saat di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.


Sumber : Halaqah


No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana tinggalkan komen anda :-)